Saturday, March 16, 2013

this is my story 5: kerja keras


Kerja keras



Ayah bekerja keras sejak saya masuk asrama. Kebetulan tahun itu kami semua masuk asrama, dari abang saya hingga saya, keempat-empat kami semua berasrama. Tinggallah adik kecil saya di rumah. Risau saya memikirkan mak yang berniaga tanpa pembantu. Ayah sudah mendapat kerja lain. Bermacam-macam. Dengan consultant, dengan syarikat perfileman, syarikat minyak kenderaan; semua ayah lakukan. Musim cuti sekolah menjadi satu kewajipan kepada kami untuk membantu mereka. Dulu ayah sering membawa kami adik-beradik bergilir-gilir menghantar minyak kenderaan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Ayah juga sering membawa kami memasang white board dan soft board ke sekolah-sekolah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Kerja berat itu membuat saya merungut kadang-kadang. Kerja kasar, kerja lelaki-penat dan sukar, itu dalam fikiran saya.  

Kotak-kotak besar berisi minyak entah berapa kilogram saya angkat dan tolak, dengan kekuatan badan yang kecil. Papan- papan yang besar dan berat saya usung bersama abang dan kadangkala kakak. Adik saya yang masih kecil itu juga di rekrut sama.
 Kadang-kala saya marah juga dengan tindakan ayah yang satu ini. Tak fahamkah ayah saya seorang kanak-kanak perempuan sahaja disuruh buat kerja berat? Satu hari kata-kata ayah meresap ke dalam jiwa saya, memarahi diri saya kerana berfikir demikian. Kata ayah kepada kami semua, ayah mahu anak-anak ayah tahu betapa susahnya ayah dan mak mencari sesuap nasi buat kami semua. Hargailah setiap sen, kerana kata ayah, setiap sen itu adalah titik peluh kami semua. Kemudian ayah akan memberi kami sedikit imbalan, sebagai menghargai kerja-kerja yang kami lakukan. 




Sampai sekarang saya mengingati kata-kata ayah ini; kerana itu sehingga sekarang jika saya membantu mak di gerai dan mak memberi upah, saya tidak pernah terima. Bagi saya untung yang tidak seberapa itu akhirnya akan digunakan untuk kami juga, biarlah mak dan ayah yang menyimpannya. Kalau saya kesempitan wang semasa di asrama, seboleh-bolehnya saya tidak akan memberitahu mereka. Biarlah saya bersakit-sakit sedikit, saya tak mahu menambah kesakitan mereka. Saya lihat bagaimana mak dan ayah berusaha mencari duit setiap kali abang dan kakak-kakak perlukan. Diam –diam saya berjanji tak akan memberitahu mereka jika saya kehabisan duit melainkan jika saya tidak mempunyai duit dalam bank sendiri lagi. 

Alhamdulillah kerana berkat sifat berjimat cermat saya, sewaktu saya di tingkatan lima saya berjaya mengumpulkan lebih seribu. Duit pertandingan forum yang saya wakili sehingga ke peringkat kebangsaan, duit simpanan di bank koperasi sekolah, dan sebagainya- saya simpan baik-baik supaya jika saya masuk universiti nanti, tidaklah terlalu membebankan mak dan ayah.

No comments:

Post a Comment