Friday, March 8, 2013

this is my story 2: Mula berniaga


            Atas nasihat dan sokongan jiran-jiran, mak membuka gerai kecil berhampiran rumah kami. Alhamdulillah, ayah terselamat dari denggi berdarah tetapi menganggur kerana kecederaan dalaman yang tidak dapat diubati. Bermula meniaga air batu campur dan ais kepal, perniagaan kami mengaut keuntungan yang tidak dijangka-jangka. Pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan sekolah kami terlalu ramai sehingga kami tak menang tangan. Saya juga mengambil inisiatif menjual lukisan-lukisan kartun saya kepada rakan-rakan. Namun itu semua tidak lama apabila ada yang dengki dengan perniagaan kami. Pernah sehingga satu hari, kami tidak mendapat apa-apa walaupun 1 sen! Tetapi mak dan ayah tak pernah mengalah. Saya melihat kesusahan dan ketabahan ayah dan mak. Saya melihat bagaimana mak dan ayah berjimat dalam berbelanja. Semua itu sentiasa menjadi inspirasi saya untuk menempuh kehidupan. 

Sewaktu orang lain masih enak diulit mimpi, seawal 3.30pagi ayah sudah bangun untuk ke pasar borong. Ketika kanak-kanak sebaya saya tidur dan bermimpi yang indah-indah, saya dan adik-beradik sudah bangun untuk membantu apa yang patut. Kata ayah, jika kami bagun awal, Allah akan membuka pintu rezeki buat kami seluas-luasnya. Itulah yang menjadi rutin harian kami semua. Sebagai seorang kanak-kanak ketika itu, kadang-kadang bebal juga saya dibuatnya kerana tak dapat melalui kehidupan seperti kawan-kawan saya yang lain. Bangun lambat, membeli-belah, melancong- jarang benar atau mungkin juga tidak pernah. Habis cuti, kawan-kawan akan bercerita kemerata-rata tempat yang mereka pergi, menunjuk buah tangan yang mereka beli. Maklumlah, mereka yang hidup di Kuala Lumpur sering dikatakan ‘loaded’. Cerita saya pula menjadi sesuatu yang membosankan bagi mereka. 

Kadang-kadang melihat kawan-kawan yang memakai baju baru setiap kali sekolah dibuka juga sering menekan perasaan saya. Cantik, putih bersih baju mereka; sedangkan saya cuma memakai pakaian kakak-kakak saya yang telah nampak lama. Kain yang sepatutnya biru gelap juga sudah pudar benar warnanya. Apabila diadukan kepada kakak-kakak saya, mereka sering menyuruh saya bersyukur kerana masih boleh bersekolah dan ada baju sekolah. Ada yang lebih malang dari saya. Syukur saya mudah menerima, saya semakin memahami realiti kehidupan. Teringat saya ketika kali pertama saya mendapat baju sekolah baru setelah sekian lama. Seingat saya ketika itu saya darjah lima. Terasa dunia ini saya yang punya. Rasa mahu dicanang kepada semua inilah baju sekolah dan kasut sekolah baru saya, lawa tak? Tapi saya hanya tersenyum riang sepanjang hari. Usah diungkit kisah baju raya, sejak tahun 1998 saya tidak pernah hiraukan lagi baju raya saya. Kalau dahulu sedih juga rasanya beraya tanpa baju baru, tetapi saya segera memahami baju raya bukan segala-galanya. Tahun-tahun selepas itu raya menjadi lebih bermakna penghayatannya kepada kami sekeluarga.

No comments:

Post a Comment