Thursday, March 7, 2013

this is my story: 1


Pahit getir hidup dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi demi kejayaan
Terdidik sejak mula...tabah berusaha
                                                                    Tanpa cuba melangkah tak kemana..
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah...

Baru-baru ini di kolej saya dalam satu program, apabila disuruh membayangkan kembali saat-saat kejayaan kami semua di masa lalu benar-benar mengusik hati saya. Saya terbayangkan saat susah senang sehingga saya ke peringkat sekarang. Saya terbayangkan mak dan ayah yang banyak berkorban demi saya dan adik-beradik. Saya terbayangkan pelbagai perkara sehingga air mata saya tak dapat diempang lagi. Air mata saya mengalir laju menuruni pipi, makin dikesat makin ia mengalir deras. Akhirnya saya biarkan air mata itu mengalir bersama memori yang masih utuh dalam ingatan saya.



            Anak keempat dari lima adik beradik, hidup dalam keluarga yang sederhana; itulah saya. Sengaja saya titipkan lirik lagu kegemaran saya di awal artikel ini (Standing In The Eyes Of The World), yang sentiasa menjadi pembakar semangat saya di kala saya berhadapan dengan sesuatu masalah. Sesungguhnya kejayaan saya hingga ke peringkat ini bukanlah seperti cerita dongeng Cinderella yang akhirnya berkahwin dengan putera raja. Bukan juga seperti cerita Bawang Merah yang akhirnya hidup bahagia bersama suaminya atau cerita Jack and Jill yang akhirnya menjadi seorang yang kaya raya. Segala yang saya lalui adalah realiti kehidupan yang telah tercatat sejak azali   di pohon Loh Mahfudz oleh Yang Esa.

            Sejujurnya saya tidak tahu hendak bermula dari mana. 1998, mungkin saya patut mulakan dari tahun ini. Entah mengapa, tahun itu begitu malang buat keluarga kami. Pada tahun tersebut arwah nenek saya meninggal dunia, kucing peliharaan kami mati setelah hidup bersama kami hampir 8 tahun, dan yang paling tragis, ayah saya mengalami kemalangan yang menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman yang teruk semasa bekerja. Ayah saya pada ketika itu bekerja sebagai pemandu lori. Walaupun gaji ayah tak seberapa,makan pakai kami tujuh beranak tak pernah kurang pada pandangan saya yang baru mencecah 9 tahun ketika itu. Selepas kemalangan itu, doktor mengesahkan ayah tidak boleh lagi kerja berat seperti sebelum ini. Ayah tidak berjaya mendapat sebarang pampasan dari syarikatnya bekerja dan sudah tentu terpaksa berhenti, tambah malang nasib kami apabila tidak lama selepas itu ayah diserang penyakit denggi berdarah yang boleh membawa maut! Siang malam saya lihat mak berendam air mata. Di rumah, kadang-kadang mak marah-marah mungkin kerana tertekan. Saya yang masih muda ketika itu mula melihat dunia dan masalah yang kami hadapi dengan pandangan sebagai orang yang lebih matang. Mungkin tidak sematang orang dewasa, tetapi bagi saya cukup untuk memahami dilemma dan kegusaran di hati mak. Mulai tahun itu seingat saya, kehidupan kami benar-benar berubah................................... BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment