Saturday, March 16, 2013

this is my story 3: kejayaan pertama


Kejayaan pertama

Dalam kalangan adik-beradik saya, mungkin saya yang paling menonjol dalam bidang akademik. Bermula dengan peperiksaan besar UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dan SRA (Sijil Rendah Agama), saya berjaya mendapat 5A dan pangkat 1 semasa dalam darjah enam. Hanya Allah mengetahui perasaan saya sekeluarga. Mak memeluk saya erat, ayah menitipkan rasa syukur yang tak terhingga. Terasa berbaloi usaha saya membaca buku sambil membantu mak dan ayah di gerai. Selepas itu saya ditawarkan kesebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan. Itulah kali pertama saya rasakan saya perlu membuat satu keputusan berat yang akan merobah hidup saya. 

Usia baru menjangkau 12 tahun, tapi ayah memberi saya kata dua- Sama ada saya berlajar di sekolah yang berhampiran dengan rumah sahaja atau ke sekolah SBP itu. Saya dimomokkan dengan pelbagai kisah ‘menakutkan’ di asrama, namun berkat sokongan guru-guru, jiran tetangga, kakak angkat dan mak akhirnya saya ‘mencabar’ diri saya untuk hidup di perantauan, jauh dari keluarga.

Kehidupan di asrama tidaklah seindah novel “Sekolah Tengku Ashikin” yang pernah saya baca. Teringat saya kali pertama saya tiba di sekolah itu untuk mendaftar, saya datang ditemani mak dan ayah dengan menaiki lori. Bayangkan, ketibaan saya di sekolah itu dengan kenderaan agak besar berkepala merah itu menyebabkan banyak mata memandang. Sinis pandangan mereka, seolah-olah berbangga dengan Mercedez Benz, Toyota, dan entah apa-apa jenama kereta mereka yang diparkir di kawasan sekolah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaan saya ketika itu. 

Ayah asyik bertanya, malukah saya dihantarnya dengan lori itu? Saya hanya mampu tersenyum hambar sambil menggeleng kepala. 

Kadang kala saya ketawa dengan jenaka ayah. Cuma satu niat saya, hati ayah dan mak perlu dijaga. Akhirnya saya menutup, mencampak jauh-jauh segala perasaan negatif. Dalam hati saya, saya nekad membuktikan kepada mereka yang memandang rendah kepada saya sekeluarga, saya boleh menjadi seorang yang lebih berjaya dari anak-anak mereka yang berkereta besar! 

No comments:

Post a Comment