Kerja keras
Ayah bekerja keras sejak saya masuk asrama. Kebetulan tahun
itu kami semua masuk asrama, dari abang saya hingga saya, keempat-empat kami semua
berasrama. Tinggallah adik kecil saya di rumah. Risau saya memikirkan mak yang
berniaga tanpa pembantu. Ayah sudah mendapat kerja lain. Bermacam-macam. Dengan
consultant, dengan syarikat perfileman, syarikat minyak kenderaan; semua ayah
lakukan. Musim cuti sekolah menjadi satu kewajipan kepada kami untuk membantu
mereka. Dulu ayah sering membawa kami adik-beradik bergilir-gilir menghantar
minyak kenderaan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Ayah juga sering membawa kami
memasang white board dan soft board ke sekolah-sekolah di sekitar
Selangor dan Kuala Lumpur. Kerja berat itu membuat saya merungut kadang-kadang.
Kerja kasar, kerja lelaki-penat dan sukar, itu dalam fikiran saya.
Kotak-kotak besar berisi minyak entah berapa kilogram saya angkat dan tolak, dengan kekuatan badan yang kecil. Papan- papan yang besar dan berat saya usung bersama abang dan kadangkala kakak. Adik saya yang masih kecil itu juga di rekrut sama.
Kadang-kala saya marah juga dengan
tindakan ayah yang satu ini. Tak fahamkah ayah saya seorang kanak-kanak
perempuan sahaja disuruh buat kerja berat? Satu hari kata-kata ayah meresap ke
dalam jiwa saya, memarahi diri saya kerana berfikir demikian. Kata ayah kepada
kami semua, ayah mahu anak-anak ayah tahu betapa susahnya ayah dan mak mencari
sesuap nasi buat kami semua. Hargailah setiap sen, kerana kata ayah, setiap sen
itu adalah titik peluh kami semua. Kemudian ayah akan memberi kami sedikit
imbalan, sebagai menghargai kerja-kerja yang kami lakukan.
Sampai sekarang saya
mengingati kata-kata ayah ini; kerana itu sehingga sekarang jika saya membantu
mak di gerai dan mak memberi upah, saya tidak pernah terima. Bagi saya untung
yang tidak seberapa itu akhirnya akan digunakan untuk kami juga, biarlah mak
dan ayah yang menyimpannya. Kalau saya kesempitan wang semasa di asrama,
seboleh-bolehnya saya tidak akan memberitahu mereka. Biarlah saya
bersakit-sakit sedikit, saya tak mahu menambah kesakitan mereka. Saya lihat bagaimana
mak dan ayah berusaha mencari duit setiap kali abang dan kakak-kakak perlukan.
Diam –diam saya berjanji tak akan memberitahu mereka jika saya kehabisan duit melainkan
jika saya tidak mempunyai duit dalam bank sendiri lagi.
Alhamdulillah kerana
berkat sifat berjimat cermat saya, sewaktu saya di tingkatan lima saya berjaya
mengumpulkan lebih seribu. Duit pertandingan forum yang saya wakili sehingga ke
peringkat kebangsaan, duit simpanan di bank koperasi sekolah, dan sebagainya-
saya simpan baik-baik supaya jika saya masuk universiti nanti, tidaklah terlalu
membebankan mak dan ayah.
No comments:
Post a Comment