“Pahit getir
hidup dan pengorbanan
Terpaksa
dihadapi demi kejayaan
Terdidik
sejak mula...tabah berusaha
Tanpa
cuba melangkah tak kemana..
Di mana kau
berada
Pencapaian
tak tiba dengan mudah...”
Baru-baru ini di kolej saya dalam
satu program, apabila disuruh membayangkan kembali saat-saat kejayaan kami
semua di masa lalu benar-benar mengusik hati saya. Saya terbayangkan saat susah
senang sehingga saya ke peringkat sekarang. Saya terbayangkan mak dan ayah yang
banyak berkorban demi saya dan adik-beradik. Saya terbayangkan pelbagai perkara
sehingga air mata saya tak dapat diempang lagi. Air mata saya mengalir laju
menuruni pipi, makin dikesat makin ia mengalir deras. Akhirnya saya biarkan air
mata itu mengalir bersama memori yang masih utuh dalam ingatan saya.
Anak keempat
dari lima adik beradik, hidup dalam keluarga yang sederhana; itulah saya.
Sengaja saya titipkan lirik lagu kegemaran saya di awal artikel ini (Standing
In The Eyes Of The World), yang sentiasa menjadi pembakar semangat saya di kala
saya berhadapan dengan sesuatu masalah. Sesungguhnya kejayaan saya hingga ke
peringkat ini bukanlah seperti cerita dongeng Cinderella yang akhirnya
berkahwin dengan putera raja. Bukan juga seperti cerita Bawang Merah yang
akhirnya hidup bahagia bersama suaminya atau cerita Jack and Jill yang akhirnya
menjadi seorang yang kaya raya. Segala yang saya lalui adalah realiti kehidupan
yang telah tercatat sejak azali di
pohon Loh Mahfudz oleh Yang Esa.
Sejujurnya
saya tidak tahu hendak bermula dari mana. 1998, mungkin saya patut mulakan dari
tahun ini. Entah mengapa, tahun itu begitu malang buat keluarga kami. Pada
tahun tersebut arwah nenek saya meninggal dunia, kucing peliharaan kami mati
setelah hidup bersama kami hampir 8 tahun, dan yang paling tragis, ayah saya mengalami
kemalangan yang menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman yang teruk semasa
bekerja. Ayah saya pada ketika itu bekerja sebagai pemandu lori. Walaupun gaji
ayah tak seberapa,makan pakai kami tujuh beranak tak pernah kurang pada
pandangan saya yang baru mencecah 9 tahun ketika itu. Selepas kemalangan itu, doktor
mengesahkan ayah tidak boleh lagi kerja berat seperti sebelum ini. Ayah tidak
berjaya mendapat sebarang pampasan dari syarikatnya bekerja dan sudah tentu
terpaksa berhenti, tambah malang nasib kami apabila tidak lama selepas itu ayah
diserang penyakit denggi berdarah yang boleh membawa maut! Siang malam saya
lihat mak berendam air mata. Di rumah, kadang-kadang mak marah-marah mungkin
kerana tertekan. Saya yang masih muda ketika itu mula melihat dunia dan masalah
yang kami hadapi dengan pandangan sebagai orang yang lebih matang. Mungkin
tidak sematang orang dewasa, tetapi bagi saya cukup untuk memahami dilemma dan
kegusaran di hati mak. Mulai tahun itu seingat saya, kehidupan kami benar-benar
berubah................................... BERSAMBUNG
No comments:
Post a Comment