Kejayaan pertama

Usia baru menjangkau 12 tahun,
tapi ayah memberi saya kata dua- Sama ada saya berlajar di sekolah yang
berhampiran dengan rumah sahaja atau ke sekolah SBP itu. Saya dimomokkan dengan
pelbagai kisah ‘menakutkan’ di asrama, namun berkat sokongan guru-guru, jiran
tetangga, kakak angkat dan mak akhirnya saya ‘mencabar’ diri saya untuk hidup
di perantauan, jauh dari keluarga.
Kehidupan di asrama tidaklah seindah novel “Sekolah Tengku
Ashikin” yang pernah saya baca. Teringat saya kali pertama saya tiba di sekolah
itu untuk mendaftar, saya datang ditemani mak dan ayah dengan menaiki lori.
Bayangkan, ketibaan saya di sekolah itu dengan kenderaan agak besar berkepala
merah itu menyebabkan banyak mata memandang. Sinis pandangan mereka,
seolah-olah berbangga dengan Mercedez Benz, Toyota, dan entah apa-apa jenama
kereta mereka yang diparkir di kawasan sekolah. Hanya Allah sahaja yang
mengetahui perasaan saya ketika itu.
Ayah asyik bertanya, malukah saya dihantarnya dengan lori itu? Saya hanya mampu tersenyum hambar sambil menggeleng kepala.
Kadang kala saya ketawa dengan jenaka ayah. Cuma satu niat
saya, hati ayah dan mak perlu dijaga. Akhirnya saya menutup, mencampak
jauh-jauh segala perasaan negatif. Dalam hati saya, saya nekad membuktikan
kepada mereka yang memandang rendah kepada saya sekeluarga, saya boleh menjadi
seorang yang lebih berjaya dari anak-anak mereka yang berkereta besar!
No comments:
Post a Comment