Atas nasihat
dan sokongan jiran-jiran, mak membuka gerai kecil berhampiran rumah kami.
Alhamdulillah, ayah terselamat dari denggi berdarah tetapi menganggur kerana
kecederaan dalaman yang tidak dapat diubati. Bermula meniaga air batu campur
dan ais kepal, perniagaan kami mengaut keuntungan yang tidak dijangka-jangka.
Pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan sekolah kami terlalu
ramai sehingga kami tak menang tangan. Saya juga mengambil inisiatif menjual
lukisan-lukisan kartun saya kepada rakan-rakan. Namun itu semua tidak lama
apabila ada yang dengki dengan perniagaan kami. Pernah sehingga satu hari, kami
tidak mendapat apa-apa walaupun 1 sen! Tetapi mak dan ayah tak pernah mengalah.
Saya melihat kesusahan dan ketabahan ayah dan mak. Saya melihat bagaimana mak
dan ayah berjimat dalam berbelanja. Semua itu sentiasa menjadi inspirasi saya
untuk menempuh kehidupan.
Sewaktu orang lain masih enak diulit mimpi, seawal
3.30pagi ayah sudah bangun untuk ke pasar borong. Ketika kanak-kanak sebaya
saya tidur dan bermimpi yang indah-indah, saya dan adik-beradik sudah bangun
untuk membantu apa yang patut. Kata ayah, jika kami bagun awal, Allah akan
membuka pintu rezeki buat kami seluas-luasnya. Itulah yang menjadi rutin harian
kami semua. Sebagai seorang kanak-kanak ketika itu, kadang-kadang bebal juga
saya dibuatnya kerana tak dapat melalui kehidupan seperti kawan-kawan saya yang
lain. Bangun lambat, membeli-belah, melancong- jarang benar atau mungkin juga
tidak pernah. Habis cuti, kawan-kawan akan bercerita kemerata-rata tempat yang
mereka pergi, menunjuk buah tangan yang mereka beli. Maklumlah, mereka yang
hidup di Kuala Lumpur sering dikatakan ‘loaded’.
Cerita saya pula menjadi sesuatu yang membosankan bagi mereka.
Kadang-kadang melihat
kawan-kawan yang memakai baju baru setiap kali sekolah dibuka juga sering
menekan perasaan saya. Cantik, putih bersih baju mereka; sedangkan saya cuma
memakai pakaian kakak-kakak saya yang telah nampak lama. Kain yang sepatutnya
biru gelap juga sudah pudar benar warnanya. Apabila diadukan kepada kakak-kakak
saya, mereka sering menyuruh saya bersyukur kerana masih boleh bersekolah dan
ada baju sekolah. Ada yang lebih malang dari saya. Syukur saya mudah menerima,
saya semakin memahami realiti kehidupan. Teringat saya ketika kali pertama saya
mendapat baju sekolah baru setelah sekian lama. Seingat saya ketika itu saya
darjah lima. Terasa dunia ini saya yang punya. Rasa mahu dicanang kepada semua
inilah baju sekolah dan kasut sekolah baru saya, lawa tak? Tapi saya hanya
tersenyum riang sepanjang hari. Usah diungkit kisah baju raya, sejak tahun 1998
saya tidak pernah hiraukan lagi baju raya saya. Kalau dahulu sedih juga rasanya
beraya tanpa baju baru, tetapi saya segera memahami baju raya bukan segala-galanya.
Tahun-tahun selepas itu raya menjadi lebih bermakna penghayatannya kepada kami
sekeluarga.
No comments:
Post a Comment